Epidemiologi adalah kajian tentang taburan sesuatu penyakit atau keadaan kesihatan, faktor-faktor yang mempengaruhinya dan penggunaannya dalam kawalan penyakit. Oleh itu, penyelidikan epidemiologi adalah penyelidikan tentang kekerapan penyakit, faktor-faktor yang boleh meningkatkan atau mengurangkan insiden penyakit, dan hubungan sebab dan akibat antara pendedahan kepada sesuatu faktor dan di dalam sesuatu populasi manusia. Salah satu alat yang penting dalam epidemiologi adalah biostatistik, dengan itu epidemiologi dan biostatistik sering bergandingan. Fungsi utama Unit Epidemiologi dan Biostatistik adalah untuk menjalankan penyelidikan epidemiologi. Projek-projek penyelidikan di Unit ini terdiri daripada kajian epidemiologi penyakit berjangkit dan tidak berjangkit yang terdapat di negara ini. Selain daripada menjalankan penyelidikan, kami juga menyediakan latihan dan perundingan dalam epidemiologi dan biostatistik dan juga terlibat dalam penyiasatan wabak.