Warga kerja Unit Autoimun yang diketuai oleh Dr Siti Fatimah Abdullah
PENGENALAN
Penyakit autoimun berlaku apabila sistem imun menyerang sel-sel atau tisu badan sendiri kerana menganggapnya sebagai sel atau tisu asing. Sehingga kini, terdapat sekitar 80 jenis penyakit autoimun yang telah dikenalpasti. Memandangkan penyakit berkaitan autoimun ini merupakan penyakit yang jarang berlaku di dalam dan luar negara, keperluan teknik khas untuk perkhidmatan diagnostik dan penyelidikan lanjut berkaitan bidang ini amat diperlukan.
Justeru, Unit Autoimun telah ditubuhkan pada tanggal 16 Ogos 2010 dan berfungsi sebagai pusat rujukan di Malaysia bagi perkhidmatan ujian-ujian diagnostik autoimun. Unit ini menawarkan 11 ujian berbeza untuk mendiagnosis penyakit berkaitan autoimun, bagi kedua-dua makmal hospital iaitu makmal awam dan swasta. Unit Autoimun juga berkepakaran khusus dalam pengesanan autoantibodi dengan menggunakan teknik immunofluorescence, enzyme linked immunosorbent assay(ELISA), immunoCAP dan imunoblot.
Melalui aktiviti penyelidikan, Unit Autoimun berusaha untuk mengenal pasti biomarker baru terhadap penyakit autoimun dan perkara berkaitan genetik dalam populasi Malaysia untuk membantu dalam mendiagnosis dan memantau tindak balas rawatan.
Selain itu juga, unit ini bertanggungjawab untuk menganjurkan Program Jaminan Kualiti Kebangsaan untuk Antibodi Anti-Nuklear (QAP-ANA), yang menyediakan penilaian berterusan dan program pendidikan makmal.
Unit ini terdiri daripada pakar patologi, pegawai perubatan, pegawai sains, pegawai penyelidik dan ahli teknologi makmal perubatan serta pembantu kesihatan. Mereka berdedikasi dalam menjalankan tugas-tugas rutin dan juga terlibat dalam mendidik pelajar-pelajar dari universiti tempatan dan antarabangsa.