Selamat datang ke Unit Informasi Kesihatan Integratif!
Unit Informasi Kesihatan Integratif merupakan salah satu unit di bawah Pusat Penyelidikan Perubatan Herba (HMRC) yang dikhususkan untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat yang sahih mengenai tumbuhan ubatan ke arah pembentukan perubatan bersepadu. Unit ini ditubuhkan pada tahun 2001 di IMR Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Unit ini telah memperluaskan kemampuan pencarian literatur dan meningkatkan jumlah pegawai yang mahir menghasilkan ulasan pantas sebagai respons kepada setiap pertanyaan. Unit ini kini terletak di Institut Kesihatan Negara Malaysia di Setia Alam, Selangor.
Aktiviti utama Unit ini tertumpu kepada penyusunan maklumat mengenai tumbuhan ubatan untuk menghasilkan pangkalan data komprehensif yang mengandungi rujukan etnoperubatan dan saintifik, berfungsi sebagai rujukan yang sahih kepada profesional penjagaan kesihatan, penyelidik dan orang ramai.
Tema utama penyelidikan Unit ini tertumpu kepada penerbitan berasaskan bukti termasuk buku (contohnya kompendium, monograf), laporan teknikal, infografik, artikel dalam talian dan jurnal. Kami mengutamakan isu semasa yang berkaitan dengan maklumat berasaskan bukti untuk perubatan herba dan T&CM. Rancangan untuk mengembangkan keupayaan Unit telah pun mula dilaksanakan dengan program-prrogram latihan yang dijalankan untuk melengkapi kemahiran kakitangan dalam pendekatan in siliko. Inisiatif ini bertujuan memajukan penyelidikan penemuan ubat herba dengan mengenal pasti potensi terapeutik baharu bagi tumbuhan ubatan di dalam pelbagai sasaran farmakologi.